BIDAS… Kenyataan balas antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lim Guan Eng ternyata tidak habis apabila bekas perdana menteri itu kembali persoal makanan pau turut dikenakan SST 6%!
Mantan menteri kewangan itu menerusi laman Facebooknya pada hari ini turut sindir menteri kewangan baharu itu yang menyifatkan kadar dikenakan kepada pau tersebut kononnya sama seperti pelaksanaan GST sebelum ini.
“Semalam, Guan Eng berang dan kata saya tidak jujur. Dia kata makanan ‘pau’ pun kena 6% GST dulu sama seperti 6% SST sekarang. Dia sangat suka marah saya. Dia demam. Persoalan saya, jika sama, kenapa tukar sistem cukai.
“Sedangkan apabila GST dimansuhkan, harga barang tidak juga turun? Bukankah Guan Eng pernah kata beberapa kali bahawa SST hanya dikenakan kepada pengilang sahaja dan bukan pengguna. Dan saya bukan pun pengilang.
“Mengapa saya turut dikenakan cukai 6% pula?” soal Najib dalam nada sinis. Tambah beliau lagi, dengan GST, peniaga yang elak cukai dan ‘ekonomi gelap’ sebenarnya tidak dapat lari daripada bayar cukai kepada pihak kastam.
Malah pelbagai insentif untuk rakyat marhaen termasuk kadar BR1M semakin naik, selain bantuan untuk golongan nelayan, pesawah, peneroka Felda semakin bertambah, serta gaji dan bonus pejawat awam semakin meningkat.
Baca: MOF Disindir Tidak Tahu Kira GST Beza SST
Juga: Kesal LGE ‘Hantam’ Jelas SST Barang Basah
“Dengan SST pula, BR1M semakin turun hingga dimansuhkan, bantuan lain disekat, gaji dan bonus penjawat awam tidak naik atau dibatal. Satu lagi… jika Guan Eng memeriksa resit dari kedai pau ini, minuman pun kena cukai 6%.
“Saya minum ice lemon tea di sana. Jika ikut jadual SST, cukai jualan ke atas ‘ice lemon tea’ ialah 10% bermakna apabila kedai itu beli ice lemon tea dari pengilang, cukai 10% sudah termasuk secara tersembunyi dalam harganya.
“Bermakna dengan tambahan 6% yang dikenakan oleh kedai itu, saya pula kena membayar lagi 10+6 peratus cukai, lebih tinggi daripada GST 6% terdahulu,” terang Najib dalam nada cukup kesal.
Semalam, Guan Eng dalam sidang media tidak beri penerangan lanjut berhubung dakwaan Najib, tetapi hanya jelas hanya pengusaha makanan dan minuman terlibat dengan sewa warung kecil dan penjualan rokok dikecualikan SST.
Terdahulu, Najib menerusi akaun sosial Twitter miliknya terkejut apabila sebuah kedai sederhana kecil di Tanjung Malim, Perak turut mengenakan SST waima untuk produk makanan seperti kuih pau. – Agensi/Mynewshub.TV