ALOR SETAR – Kementerian Kewangan akan menyemak dan menilai semula semua projek pembangunan yang menerima Surat Setuju Terima (SST) sebelum menentukan sama ada projek-projek tersebut akan diteruskan atau ditangguhkan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata sebelum ini arahan untuk menghentikan semua projek yang melibatkan SST telah dikeluarkan serta projek yang telah berjalan dengan kemajuan fizikalnya kurang daripada 15 peratus turut dihentikan untuk dikaji semula.
“Kita telah arahkan projek berkenaan dihentikan pada Jun lalu dan minta semua kementerian yang terlibat untuk menghantar senarai projek yang terlibat selewat-lewatnya hari ini. Bermula bulan Okt (esok) kita sudah boleh semak dan nilai semula projek berkenaan dan selepas itu baru tindakan untuk menggerakkan semula projek-projek itu diputuskan.
“Sekiranya terdapat keraguan pada tender projek yang ditawarkan sebelum ini kita akan panggil pihak yang terlibat untuk mendapatkan penjelasan tetapi sekiranya tender yang diberikan itu dibuat secara telus dan membawa manfaat kepada rakyat ia akan diteruskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kenam Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Kedah yang turut dihadiri Presiden PERKOBF Malaysia, Tukiman Radion.
Sementara itu Amiruddin berharap kontraktor yang terlibat dapat memahami keputusan yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan untuk menghentikan projek tersebut selepas melihat kedudukan kewangan negara.
“Kita tangguhkan projek tersebut selepas lihat kedudukan kewangan negara pada ketika itu tidak baik tetapi sekarang bila sudah dapat gambaran jelas baru kita boleh buat keputusan dan bertindak berdasarkan keadaan sebenar,” katanya. – BERNAMA