KUALA LUMPUR – “Saya amat bersyukur dengan sikap DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu. Semoga Allah memberikan kesihatan dan bimbangNYA untuk beliau selalu.”
Itu reaksi Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan Anwar menolak golongan “Super-Liberal” yang menyeru kepada seks songsang di negara ini baru-baru ini.
Mohd. Asri yang diketahui umum sebagai penyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci maksud semoga Allah memberikan bimbangNYA selalu tersebut.
“Saya baru mendengar ucapan DSAI yang menyeru untuk kita menolak sikap melampau golongan ‘super liberal’ yang menyeru kepada seks songsang seperti seruan ekstrem para pejuang LGBT.
“Saya amat bersyukur dengan sikap DSAI itu. Kita memerlukan sikap yang jelas terhadap golongan songsang seperti itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dipecat oleh Mahathir daripada jawatan itu pada 2 September 1998 sehingga mencetuskan gerakan Reformasi. Mahathir merupakan Perdana Menteri ke-4 ketika itu.
Beliau kemudian dihukum penjara sembilan tahun oleh mahkamah pada 9 Ogos 2000 setelah didapati salah atas tuduhan meliwat pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar bersama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
Anwar dan Mahathir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu namun mencapai kata sepakat kembali bekerjasama bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan bersama.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dalam usaha kembali ke Parlimen melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir.
Mohd. Asri seterusnya berkata, semua pihak mengiktiraf hak, namun perlu tahu had bagi setiap hak kerana akhirnya semua akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diperjuangkan di atas muka bumi ini. – MYNEWSHUB.TV