NEW YORK – Juara enam kali, Serena Williams menyingkirkan Anastasija Sevastova hari ini untuk melangkah ke final kesembilannya pada Terbuka Amerika Syarikat menentang pemain yang mencetus kejutan besar dari Jepun, Naomi Osaka.
Serena, pilihan ke-17 yang berada di landasan baik untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-23 dan kali pertama sejak melahirkan anak perempuannya, Olympia tahun lalu, hanya memerlukan 66 minit sebelum menewaskan pilihan ke-19, Anastasija 6-3, 6-0.
Naomi, yang diletakkan pilihan ke-20, muncul pemain wanita pertama Jepun mara ke final Grand Slam susulan kemenangan 6-2, 6-4 ke atas pemain AS, Madison Keys yang juga naib juara tahun lalu.
Serena menyifatkan kejayaan ke final sebagai āmenakjubkanā selepas dia turut terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku yang mengancam nyawanya selepas melahirkan anak tahun lalu.
āUntuk melaluinya, di atas katil hospital, tidak mampu untuk bergerak dan berjalan atau melakukan apa-apa, kini hanya setahun kemudian, saya tidak berlatih, tapi saya akhirnya berada di final ini, untuk kali kedua berturut-turut,ā kata Serena yang turut mara ke final Wimbledon.
āUntuk berada sejauh ini dengan amat pantas… saya benar-benar tidak sabar untuk menantikan sebarang kemungkinan.ā
Dalam dua edisi Terbuka AS, 2015 dan 2016, Serena tewas di separuh akhir tetapi gelaran keenam di New York tahun lalu menyaksikannya kini hanya memerlukan satu gelaran untuk mengatasi rekod Chris Evert.
Malah, dia hanya memerlukan satu gelaran Grand Slam untuk menyamai rekod yang dipegang oleh legenda Australia, Margaret Court iaitu 24 kejuaraan.
Naomi, 20, yang layak ke separuh akhir Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya mengakui semangatnya didorong oleh pertembungan āimpianā dengan Serena.
Ketika ditanya bagaimana dia berjaya menyelamatkan 13 mata ābreakā bertemu Madison, Naomi berkata: āSaya hanya berfikir yang saya benar-benar mahu bermain menentang Serena.
āSaya lega dapat melepasi perlawanan ini,ā kata Naomi yang memenangi pertemuan tunggal menentang Serena di Miami Mac lalu. – AFP