JASIN – Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee meminta pihak berkuasa serta jabatan dan agensi kerajaan segera menyiasat unsur ketirisan dan penyelewengan dalam projek tanaman padi beras wangi di Sungai Rambai, Jasin dekat sini.
Norhizam berkata beliau telah membuat dua laporan polis masing-masing berhubung isu pencerobohan tanah dan pembinaan dua kolam di tanah tersebut pada 28 Ogos lepas dan isu penyelewengan baja pada 29 Ogos di Balai Polis Sungai Rambai, Jasin.
“Kita dapati terdapat penyelewengan 300 guni baja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM20,000. Selain itu kita dapati terdapat unsur ketirisan iaitu individu yang ambil alih projek terbabit tanpa persetujuan peserta lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pada 29 Ogos lepas, Norhizam bertindak menyerbu sebuah stor yang menyimpan baja dipercayai baja subsidi, namun tindakannya itu menimbulkan ketegangan dengan sekumpulan penduduk dan video serbuan itu kini tular di media sosial.
Mengulas dakwaan mengatakan beliau bertindak kasar dalam serbuan tersebut, Norhizam berkata apa yang dilakukannya adalah sebagai menggalas tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat terutamanya pesawah program terbabit serta meminta maaf sekiranya tindakan itu tidak disenangi, dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.
Sementara itu, badan bukan kerajaan Pemantau Malaysia Baru dan parti politik PAS serta UMNO hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa Norhizam dalam kes melibatkan serbuan stor baja tersebut.
Presiden Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam berkata dalam serbuan itu Norhizam telah meminta polis membuka stor simpanan baja itu dengan menyatakan beliau adalah Exco Kerajaan Negeri Melaka, yang mana tindakan itu adalah jelas perbuatan salah guna kuasa.
“Beliau (Norhizam) tiada kuasa geledah (stor itu) seperti mana kita tahu kalau nak geledah itu kuasa polis, kuasa pihak berkuasa tempatan itu pun mesti ada waran. Kita minta SPRM siasat perkara ini dan sekiranya exco itu ada kepentingan peribadi berbuat demikian,” katanya.
Turut hadir membuat laporan itu Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Kamaruddin berkata pihaknya meminta Ketua Menteri Adly Zahari supaya mengambil tindakan tegas terhadap isu ini dan Norhizam bertanggungjawab dengan mengosongkan jawatan exco yang disandangnya kini.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal integriti sebagai seorang pemimpin. Pemimpin tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya sebegini, perlu melalui prosedur dan undang-undang ditetapkan selain menjadi contoh kepada rakyat yang dipimpinnya,” katanya.
Pengarah SPRM Negeri Melaka, Abu Talib Othman ketika dihubungi mengesahkan SPRM menerima laporan itu dan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap laporan tersebut. – BERNAMA