SIBU – Penganjuran Program Terjun BASE Antarabangsa 2018 perlu dimanfaatkan sebagai platform mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia berasaskan sukan lasak dan ekstrem.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King, berkata acara sedemikian diyakini mampu meningkatkan jumlah kunjungan pelancong ke Bumi Kenyalang, khususnya ke bandar ini.
Katanya, ia kini sudah menjadi acara tahunan di Bahagian Sibu, namun pihaknya berdepan sedikit kekangan berikutan jumlah penerbangan yang terhad menghubungkan bandar ini dengan dunia luar.
“Justeru, kita berharap kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dapat mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini.
“Ia termasuk berunding dengan syarikat penerbangan bagi meningkatkan perkhidmatan mereka ke Sibu,” katanya ketika meraikan 34 penerjun antarabangsa yang menyertai acara itu di sebuah hotel terkemuka, di sini, semalam.
Thai King berkata, pertambahan pelancong ke Sibu juga mampu membantu kerajaan negeri mencapai sasaran jumlah pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Sarawak 2019.
Katanya, kerajaan Sarawak mengunjurkan peningkatan antara 15 hingga 18 peratus dari segi jumlah kunjungan pelancong tahun depan, dengan tempoh mereka berada di negeri ini, antara lima hingga tujuh hari.
“Ini tentu menyumbang kepada peningkatan diperoleh negeri daripada industri pelancongan dan sektor perkhidmatan dan hospitaliti, termasuk perhotelan,” katanya.
Beliau berkata, Sibu mampu membantu dari segi pertambahan pelancong kerana bandar itu kini mempunyai pelbagai acara menarik seperti Program Terjun BASE Antarabangsa 2018 yang sedang berlangsung.
“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa ini selari dengan arah tuju kerajaan negeri dalam mempromosikan acara bertaraf antarabangsa bagi menambah nilai produk pelancongan di Sarawak,” katanya.
Katanya, penerjun akan melakukan lompatan dari Menara Wisma Sanjan pada paras ketinggian 126 meter dari aras laut, yang juga struktur bangunan tertinggi di Kepulauan Borneo. – BH Online