SEREMBAN – Sistem penggiliran dalam mengemukakan soalan lisan dalam kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersifat lebih adil bagi pihak pembangkang.
Anthony Loke Siew Fook (DAP-Chennah) berkata sistem ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sistem lama yang hanya berpihak kepada kerajaan.
Justeru, dalam melaksanakan sistem itu secara lebih baik, Loke mencadangkan agar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Zulkefly Mohamad Omar menetapkan sistem penggiliran ini dalam aturan mesyuarat yang dibentangkan di dalam dewan.
“Ini adalah cadangan yang telah saya lontarkan berkali-kali sebelum ini kerana tujuannya untuk beri peluang termasuk kepada pembangkang untuk tanya soalan kritikal kerana mereka ‘accountable’ dan ‘answerable’ kepada rakyat.
“Dahulu sistem kurang kepada pembangkang, syabas saya ucapkan kepada Speaker kerana telah membuat pembaharuan ini.
“Walaupun saya berada dalam keadaan sekarang, saya tidak mahu lihat pihak kerajaan sahaja diberi keutamaan, ini cara lama.
“Sudah sampai masanya saya cadang ada pindaan pada peraturan mesyuarat dari segi susunan soalan dan jumlah soalan… Kita mungkin boleh ikut Parlimen iaitu 10 soalan lisan misalnya dan soalan pertama dari kerajaan dan kedua dari pembangkang dan begitu berikutnya secara bergilir-gilir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas usul menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada mesyuarat kedua penggal pertama DUN ke-14, di sini, hari ini.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sistem itu juga berfungsi memastikan prinsip semak dan imbang dilaksanakan sebaiknya bagi mengukuhkan institusi kerajaan negeri.
“Setiap kali ada soalan dan selepas diberi jawapan, Adun yang bertanya perlu diberi hak untuk bertanya soalan tambahan lain jika ada. Tapi yang penting perlu bergilir-gilir supaya ada semak dan imbang.
“Soalan itu pula ditetapkan oleh Speaker mana yang lebih penting untuk dijawab dengan memberi keutamaan kepada soalan berbentuk dasar,” katanya.
Dalam pada itu, bagi merealisasikan konsep ‘work in kl, stay in Seremban’ yang bertujuan menarik lebih ramai untuk bekerja di Kuala Lumpur pihaknya telah meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad untuk menghidupkan semula perkhidmatan komuter ekpsres dari Seremban ke Kuala Lumpur.
“Setiap pagi pada pukul 6.50 ada komuter ekspres tidak berhenti di stesen kecil dan ia terus ke KL Sentral, hanya berhenti di Nilai selepas Seremban, ini menyenangkan ramai pekerja untuk mereka ambil train mereka boleh sampai tepat pada waktunya.
“Ini antara yang saya boleh bantu sebagai Menteri Pangangkutan daripadaa Negeri Sembilan, sudah tentu juga saya akan bantu kerajaan negeri untuk memastikan sektor pengangkutan kita lebih efisien,” katanya.
Loke turut mencadangkan supaya jawatan Ketua Pembangkang di negeri ini diinstitusikan dan status serta jawatan Ketua Pembangkang juga sepatutnya bertaraf seperti Exco iaitu berhak menerima segala kemudahan yang ada sekaligus membuktikan Pakatan Harapan mengiktiraf peranan dan tanggungjawab pembangkang.
Persidangan Dewan disambung esok. – BERNAMA