LABUAN – Status pelabuhan bebas Labuan perlu kekal sepenuhnya, dengan akses langsung kepada kapal asing dari pelbagai negara perdagangan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata perlu tiada had ke atas mana-mana kapal asing yang singgah di pelabuhan Labuan (Labuan Liberty Wharf) berikutan ini akan menghalang aktiviti ekonomi di pulau bebas cukai itu.
“Perlukah ada sebarang sekatan atau had (berkaitan isu kabotaj) kapal asing yang singgah di pelabuhan Labuan? Ini adalah antara isu yang akan dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan,” katanya kepada pemberita dalam misi ke Labuan pada hujung minggu lepas.
Khalid berkata pelabuhan itu perlu menyediakan lebih banyak akses terbuka kepada kapal, yang antaranya dari Eropah, China dan Jepun, tanpa perlu melalui Pelabuhan Klang.
“Labuan dengan status pelabuhan bebas akan menerima penghantaran langsung dari negara luar untuk membawa barangan ke sini, sejajar dengan status pelabuhan bebas,” katanya.
Dasar kabotaj di Sabah, yang berkuat kuasa sejak tahun 1980 di bawah Kementerian Pengangkutan, bertujuan untuk mengintegrasikan semua aktiviti maritim di Malaysia, tetapi perniagaan dan komuniti di sini menyatakan langkah itu penyebab kepada harga barangan lebih tinggi berbanding Semenanjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman memberitahu Bernama pengendalian kargo pelabuhan itu merosot lebih 30 peratus disebabkan sektor minyak dan gas yang lembap, walaupun aktiviti pemunggahan membantu pelabuhan itu memenuhi keperluan. – BERNAMA