KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Wilayah Persekutuan (WP) menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti semula jadual penglibatan tiga tonggak utama pasukan itu yang dipanggil menyertai latihan dan perlawanan persahabatan bersama skuad Bawah-19 (B-19) kebangsaan di luar negara.
Pengurus pasukan Syed Yazid Syed Omar berkata ketiadaan ketiga-ketiga pemain itu memberi kesan mendalam buat skuad mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan pembukaan menentang Johor, Sabtu ini.
“Ia akan menjejaskan pasukan kita pada perlawanan pembukaan nanti tanpa kehadiran pemain pertahanan Muhd Azhar Apandi dan Nabil Hakim Bokhari serta Muhd Talhah Rosli (pemain tengah) di mana sasaran kita adalah untuk menang pada perlawanan pertama itu agar kita dapat laluan mudah ke peringkat suku akhir.
“Pada dasarnya saya tidak lepaskan mereka untuk menyertai latihan serta perlawanan persahabatan skuad kebangsaan di Oman dan Korea Selatan, namun mereka semua telahpun dipanggil ke sana…FAM kalau boleh kaji balik jadual yang dikeluarkan agar mereka dapat fokus kepada temasya dwitahunan ini,” katanya dalam sidang akhbar skuad itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua pemain tersebut akan hanya berpeluang beraksi pada perlawanan kedua menentang Terengganu yang akan berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim.
Wilayah Persekutuan diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Johor, Terengganu dan Negeri Sembilan dalam SUKMA Perak yang akan membuka tirainya minggu ini. – BERNAMA