JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan negeri memantau kesemua pusat tahfiz yang beroperasi di negeri itu dan memastikan kesemuanya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Titah baginda, kesemua pusat tahfiz yang beroperasi di Johor perlu mendapat sijil pengiktirafan sebelum memulakan operasi.
“Akhir-akhir ini terdapat banyak pusat tahfiz swasta atau persendirian diwujudkan dan memohon sumbangan dan bantuan orang ramai untuk beroperasi.
“Mana-mana pusat tahfiz yang melanggar syarat hendaklah ditutup serta-merta,” titah baginda ketika merasmikan majlis Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), di sini, hari ini.
Baginda turut mencadangkan penubuhan kelas tahfiz khas di setiap sekolah agama Johor untuk pelajar yang mahu mendalami ilmu hafazan al-Quran sekiranya ada permintaan dan keperluan. – BERNAMA