MELAKA – Pesakit Cerebral Palsy, Amirah Azman, 20, hanya mampu berinteraksi melalui pergerakan terhad untuk menyatakan hasratnya.
Itulah kepayahan yang terpaksa dihadapi Amirah akibat lemas di dalam kandungan sejak dilahirkan ibunya, Aitun Eret, 48.
Anak sulung daripada dua beradik yang kini terlantar di rumahnya di Bukit Rambai, di sini, hanya dapat menggunakan pergerakan mata, suara mengerang dan menangis setiap kali memerlukan bantuan ibunya.
Aitun berkata, lebih menyulitkan keadaan apabila Amirah tidak boleh ditinggalkan bersendirian dalam tempoh yang lama kerana dia akan mula meragam sehingga boleh menyebabkan demam.
“Sukar untuk saya tinggalkan dia (Amirah) walaupun sekejap untuk memasak dan buat kerja rumah kerana dia akan mula merengek.
“Tapi, saya latih dia juga supaya dapat biasakan diri tinggal bersendirian dalam masa sekejap. Lebih menyulitkan apabila dia mengamuk setiap kali nampak baju doktor (putih) setiap kali kami membawanya ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan terapi fisio,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Suri rumah itu berkata, antara kesukaran yang dihadapi sepanjang tempoh 20 tahun membesarkan anaknya itu adalah dari segi pengangkutan berikutan suami, Azman Ali, 55, hanya seorang operator kilang peralatan besi dengan pendapatan lebih RM1,000 sebulan.
“Walaupun menghadapi masalah kewangan, saya tetap bersyukur kerana saudara-mara dan jiran sudi membantu mengharungi takdir yang menimpa keluarga,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata, dia pernah berhutang lebih RM4,000 dengan pihak hospital bagi mendapatkan suntikan untuk melembutkan otot dan terapi fisio anaknya, sebelum menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri pada 2008.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 40599-86-02661310-1 atas nama Aitun Eret atau menghubunginya di talian 012-533 4143. – BH Online