KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi diberi tempoh sehingga 30 Sept ini untuk mengemukakan cadangan pakej baharu jalur lebar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
“Saya berharap selepas cadangan pakej-pakej baharu dikemukakan kepada SKMM, kita boleh laksanakan dan selepas itu lihat harga jalur lebar turun dan kelajuannya meningkat menjelang hujung tahun ini,” katanya menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini cadangan pakej baharu perlu dikemukakan sebelum 31 Ogos, namun wujud permohonan supaya ia dilanjutkan sehingga dua tahun.
“Kita tolak. Lanjutan diberi kepada 30 Sept. Ini kerana SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) dilaksana pada 1 Sept dan perlu selesaikan isu-isu tertentu seperti prepaid (prabayar) dulu. Tiada lanjutan masa lagi diberikan,” katanya.
Gobind Singh turut berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan semua syarikat telekomunikasi selepas 30 Sept.- BERNAMA