TEXAS – Dua beranak ditahan polis apabila rakaman mereka menembak mati seorang jiran tersebar ketika bergaduh gara-gara tindakan lelaki itu membuang tilam usang di kawasan perumahan.
Daily Mail melaporkan, John Miller, 67, dan anak lelakinya berusia 31 tahun, Michael Miller ditahan atas dakwaan membunuh Aaron Howard dalam kejadian di belakang rumahnya di Abilene, Texas, pada 1 September lalu.
Rakaman itu tersebar selepas tunang mangsa, Kara Box mengedarkannya kepada stesen televisyen tempatan, KTXS-TV yang menunjukkan John memegang sepucuk pistol manakala anaknya mempunyai senapang patah.
Kara pada mulanya hanya ingin merakam pergaduhan itu dan terkejut apabila dua beranak itu nekad melepaskan tembakan ke arah Howard.
“Beberapa hari sebelum kejadian, kami membuang tilam di tong sampah di lorong bersebelahan rumah,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan itu kemudiannya melihat tilam terbabit berada di halaman rumah mereka lalu meletakkannya semula di tong sampah berkenaan.
John datang semula ke lorong itu dan mengeluarkan tilam berkenaan lalu sekali lagi mencampakkannya ke rumah mangsa sebelum kedua-duanya mula bertengkar sehingga berakhir dengan kematian mangsa.
Sementara itu, Pendakwa Daerah Taylor, James Hicks hanya mendapat tahu mengenai video itu melalui stesen televisyen berkenaan.
“Bukti video seperti ini sentiasa dianggap ngeri dan sukar untuk ditonton. Namun, ia konsisten dengan dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan. – Agensi/myMetro Online