LEGENDA Chelsea John Terry akan kembali ke Stamford Bridge sebagai jurulatih selepas ditawarkan jawatan itu oleh Pengurus Maurizio Sarri.
Bekas kapten Chelsea berusia 37 tahun itu dikaitkan bakal berpindah ke Rusia selepas kontraknya bersama Aston Villa tamat pada musim panas ini.
Terry yang dilahirkan menerusi akademi Chelsea dan menghabiskan masa selama dua dekad bersama skuad utama akan membantu melahirkan pemain muda pasukan itu dalam masa terdekat.
Menurut The Sun, Terry bersetuju dengan kontrak bernilai 800,000 pound sterling setahun untuk mengemudi skuad bawah 23 tahun Chelsea.
Terry akan menggantikan bekas rakan pasukannya, Jody Morris yang meletak jawatan untuk mengikut Frank Lampard ke Derby County.
Difahamkan Sarri memainkan peranan utama membawa masuk Terry dan berupaya meyakinkannya untuk kembali ke Stamford Bridge.
Ditanya sama ada di mengalu-alukan Terry kembali, Sarri berkata:”Ya sudah tentu tetapi kali terakhir saya bercakap dengan dia seminggu yang lalu. Dia beritahu saya dia mahu bermain untuk satu musim lagi.” – Metro.co.uk/mStar Online