BONGKAR… Misteri Datuk Seri Mustapa Mohamed tiba-tiba keluar UMNO selepas bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya didedahkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Pada sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini, beliau turut mengesahkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dan dua pemimpin UMNO Kelantan telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Annuar berkata, mereka sebenarnya telah disoal siasat selama beberapa hari mengenai beberapa dana yang diterima dari pihak tertentu dan hasil tekanan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu mungkin memaksa Mustapa keluar parti.
“Saya boleh sahkan UMNO Kelantan termasuk Tok Pa (rujukan nama panggilan mesra Mustapa) tengah disiasat oleh pihak polis dan SPRM beberapa hari berkaitan dana yang diterima,” kata beliau.
Untuk rekod, Mustapa keluar UMNO kelmarin dan kurang 24 jam, seorang lagi bekas Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Anifah Aman keluar parti. Kebetulan mereka sebelum itu ada bertemu Mahathir di Putrajaya.
Annuar berkata, UMNO tidak ada hak untuk melarang ahlinya daripada meninggalkan parti kerana setiap individa mempunyai alasan tersendiri.
“Masing-masing ada alasan sendiri untuk keluar. Ada yang mempunyai kepentingan perniagaan dengan kerajaan dan perlu selamatkan perniagaaan mereka.
“Ada dalam siasatan SPRM. Ada yang tidak boleh tidur lepas disiasat. Lain orang lain masalah. Tak elok tuduh-tuduh. Politik negara kita matang dan kita hormati pendirian mereka,” kata Annuar.
Dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 hujung bulan ini, Annuar turut mendakwa banyak tawar menawar berlaku kepada ahli UMNO untuk keluar daripada parti ketika ini menyertai parti komponen PH.
“Banyak tawar menawar. Pintu depan pintu belakang. Kita tak boleh nak kawal nak tambat. Terpulang pada istiqamah masing-masing. Perjalanan masih jauh,” kata Annuar. – Agensi/Mynewshub.TV