PUTRAJAYA — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan UMNO kerana sedar parti itu sudah rosak.
Pengerusi Pakatan Harapan itu bagaimanapun menyifatkan tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri itu “lambat sikit”
“Patutnya dia sedar awal lagi. UMNO dah rosak baru nak keluar parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Malam Anugerah Francais di sini hari ini.
Mustapa hari ini mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu susulan hala tuju UMNO kini tidak selari dengan perjuangannya.
Ditanya sama ada Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok pa akan menyertai PH, Dr Mahathir berkata : “Dia tak kata apa pun”
“Kalau dia nak menyertai (PH), dia kena tunjuk dia berlainan dari dahulu,” katanya. — BERNAMA