PUTRAJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan mendakwa gambar seorang lelaki sedang memegang minuman keras dan bercium dengan seorang wanita yang sedang tular di media-media sosial tidak merujuk kepada dirinya.
Menurutnya, cara tulisan mengenai keterangan gambar tersebut jelas memperkatakan tentang seorang pemimpin di sebuah negara jiran.
Azhar berkata, buat masa ini beliau tidak berhasrat untuk membuat laporan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana amat sibuk.
“Ini gambar asal, pada masa ini, tidak (membuat laporan polis atau SKMM) sebab saya amat sibuk, lagi pun cara tulisan seperti tidak merujuk kepada saya,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebanyak lapan gambar telah dimuat naik pada 22 September lalu menerusi akaun Facebook RPS 2019 memaparkan wajah seorang pemimpin di Indonesia iaitu Ustaz Abu Janda atau Permadi Arya.
Paparan yang berbunyi, Sssstttt ! Hot News Dua wajah Abu Janda – Sebarkan Agar Rakyat Sadar itu memperkatakan tentang seorang lelaki yang gambar peribadinya telah tersebar dan didakwa sebenarnya tidak alim seperti yang diketahui oleh umum. – UTUSAN ONLINE