TURKI dan Sudan menandatangani perjanjian cari gali minyak bernilai AS$100 juta, dan satu perjanjian memperuntukkan ribuan kilometer persegi tanah pertanian Sudan untuk pelaburan syarikat Turki, kata kementerian pertanian dan perhutanan Turki pada 11 September.
Dua negara itu mencapai persetujuan semasa lawatan Recep Tayyip Erdogan ke Khartoum pada Disember – lawatan pertama oleh seorang presiden Turki – untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak AS$10 bilion setahun.
Kementerian tersebut berkata Sudan telah memperuntukkan 780,500 hektar tanah untuk pelaburan syarikat swasta Turki, yang bertujuan “memastikan keselamatan bekalan makanan untuk Turki, Sudan dan negara-negara lain.”
Perbadanan Petroleum Turki (TPAO) dan kementerian petroleum dan gas Sudan juga mendadatangani perjanjian pembangunan medan minyak, yang akan bermula dengan pelaburan bernilai sehingga AS$100 juta, kata Menteri Pertanian dan Perhutanan Turki Bekir Pakdemirli.
Menurut laporan media rasmi kerajaan Anadolu Agency, perjanjian itu melibatkan cari gali.
Bank Turki, Ziraat juga akan membuka cawangan di Khartoum, pada masa yang sama prosedur kastam bagi mesin dan peralatan diimport dari Turki ke Sudan akan dipermudahkan.
Setahun lalu, Amerika Syarikat menamatkan beberapa sekatan perdagangan terhadap Sudan yang menyebabkannya terpinggir dari sistem kewangan antarabangsa, tetapi masalah kekurangan makanan terus berlaku di Sudan.
Awal tahun ini, protes berlaku ekoran keputusan kerajaan mengurangkan subsidi roti hingga menyebabkan harga makanan asas itu meningkat.
Turki yang hubungannya dengan negara serantau Mesir dan Arab Saudi merosot telah meningkatkan pelaburan di Turki kebelakangan ini.
Ankara sedang membangunkan semula bandar pelabuhan di Pulai Suakin di Laut Merah, yang turut melibatkan pembinaan pelabuhan untuk kapal tentera.
Kedua-dua negara mencapai perjanjian ini pada 2017, yang memberikan Turki hak selama 99 tahun untuk membangunkan pulau strategik itu.
Perjanjian lain yang ditandatangani semasa lawatan Erdogan itu termasuk pelaburan Turki untuk membina lapangan terbang baharu Khartoum dan pelaburan untuk produksi kapas, penjanaan tenaga elektrik, dan kemudahan pertanian.
Turki semakin merapatkan hubungan perdagangan dan politik dengan Sudan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menambahkan satu lagi sekutu rapat di timur Afrika selepas Somalia yang dikenali sebagai negara sahabat baik Turki. – HDN/Mynewshub.tv