HANGZHOU – Ketegangan perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan China tidak akan berlaku pada masa depan sekiranya perdagangan dijalankan secara berasaskan teknologi.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma berkata kaedah perdagangan berasaskan teknologi akan mengurangkan sekatan perdagangan dan ketegangan antara rakan dagangan.
“Krisis antara kedua-dua negara ini menjejaskan ekonomi China dari banyak aspek, terutama dalam sektor runcit.
“Apabila halangan perdagangan dihapuskan, perang perdagangan tidak akan berlaku, namun dalam usaha merealisasikannya, semua pihak perlu menerima perubahan,” katanya semasa Persidangan Pengkomputeran Alibaba di sini, hari ini.
Ma berkata semua pihak perlu bersedia bukan hanya buat masa ini, malah untuk 20 tahun akan datang.
“Kita perlu terus berinovasi dan jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh, kita akan rugi pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata sektor pembuatan juga perlu melakukan transformasinya sendiri dan meningkat ke tahap seterusnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang sebelum ia jauh ketinggalan.
“Cabaran yang kita akan hadapi adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, jauh daripada jangkaan. Oleh itu, kita perlu bersedia sepenuhnya.
“Ada sesetengah pihak mengatakan pembuatan sebenar semakin lenyap namun saya tidak berfikiran begitu. Hanya syarikat yang ketinggalan sahaja yang akan mengalami nasib sedemikian,” katanya.
Semalam, AS mengenakan tarif bagi pusingan ketiga bernilai US$200 bilion (US$1 = RM4.14) ke atas barangan China.
Ketegangan perdagangan antara AS dan China turut menjejaskan pasaran pesat membangun, seperti Malaysia, yang merupakan rakan dagangan dengan kedua-dua negara. – BERNAMA