SANGKAL… UMNO menegaskan bahawa surat yang tular berkaitan demonstrasi kuburkan undang-undang di ibu kota pada Ahad ini bukan di bawah kendalian pihak parti berkenaan.
Malahan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara berkenaan juga merupakan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk cuba memburukkan nama baik UMNO.
“Perkara yang dinyatakan dalam surat tersebut adalah tidak benar dan ia turut bukan di bawah kendalian UMNO Malaysia. UMNO sangat kesal dengan pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai surat ini.
“Justeru UMNO meminta rakyat agar tidak mempercayainya,” kata Shamsul Anuar menerusi satu kenyataan media di ibu negara pada Rabu sebagai merujuk penyebaran surat layang tersebut semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata surat dengan berkepala logo UMNO yang bertajuk ‘Penyertaan ke demonstrasi kuburkan undang-undang negara’ pada 9 September ini sebagai bukan aktiviti parti itu.
Ini termasuk arahan melalui surat tersebut yang turut meminta pihak bahagian UMNO untuk menghantar sepuluh peserta bagi menyertai demonstrasi di kompleks beli-belah Sogo itu.
Sebagai rekod, perhimpunan sempena dengan majlis ‘pengebumian’ institusi Peguam Negara akan dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pemantau Malaysia Baru pada 7 September.
Ia malah diadakan atas kapasiti NGO dan bukan di atas nama parti oleh presidennya sendiri, Datuk Lokman Noor Adam di tempat yang sama sebagai protes terhadap pengguguran kes rasuah Lim Guan Eng.
Beliau berkata, perhimpunan itu dibuat berikutan tindakan Tommy Thomas menarik diri daripada pendakwaan kes rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.
“Satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi akan dibuat oleh beberapa NGO yang terlibat sebelum memulakan perhimpunan di depan SOGO pada pukul 9 malam,” katanya. – Agensi/Mynewshub.TV