KUALA LUMPUR – Usia bukanlah kayu ukur bagi kejayaan seseorang namun semangat dan keazaman yang tinggi merupakan kunci kepada kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburi.
Berbekalkan prinsip tersebut, ahli perniagaan, Lila Ruzaini Mohd. Hussain tekad menyertai pertandingan Mrs. World Malaysia 2018 biarpun sedia maklum dirinya akan bertandingan dengan peserta lain yang jauh lebih muda daripadanya.
Lila Ruzaini yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ehsan Seputeh berkata, kejayaan bukan sekadar kemenangan yang dikecapi tetapi perlu melihat kepada usaha usaha yang dilakukan untuk melakar kesesebuah kemenangan.
” Saya percaya umur tidak menjadi penghalang untuk memajukan diri dalam apa sahaja bidang. Mungkin dalam usia begini, Allah berikan kudrat dan kekuatan untuk saya bersama dalam Mrs. World Malaysia 2018.
” Kita semua hendak menang. Kita tengok calon yang ada pun sangat baik. Ini bukan sebab menang atau kalah tetapi berapa banyak kita letakkan usaha untuk meraihnya,” katanya kepada Utusan Online hari ini.
Seramai 14 daripada 18 finalis Mrs. World Malaysia 2018 diketuai pemenang musim lalu, Datin Harveen Kaur melakukan kunjungan ke ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini sempena pertandingan akhir yang bakal berlangsung di Hotel Royal Chulan Kuala Lumput pada 29 September ini.
Pertandingan ini memberi peluang kepada wanita bergelar ibu dan isteri untuk mengambil bahagian dan peserta bukan sekadar dinilai dari segi paras rupa tertapi termasuk keterampilan, sumbangan kepada masyarakat, kehidupan bekeluarga dan kepintaran minda mereka.
Sementara itu, seorang lagi finalis, Marianny Ismail, 33, berkata, dia melakukan persediaan rapi bagi pertandingan ini merangkumi aspek fizikal dan mental.
“Persediaan memang banyak termasuk mengadakan acara kebajikan memberika makan kepada gelandangan, melawat pusat kesihatan mental di Kuala Muda, Kedah dan pesakit di wad pediatrik Hospital Selayang.
“Biarpun sibuk dengan aktiviti kemasyarakatan, namun saya tetap menguruskan masa dengan baik terutama pada hujung minggu untuk dihabiskan bersama suami dan anak-anak,” ujarnya.
Bagi Reena Kaur, 33, pula, tujuaan dia menyertai Mrs. World Malaysia adalah didorong oleh rasa untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya ambil keputusan menyertai pertandingan ini selepas mendapat sokongan suami dan keluarga. Ini kerana saya tidak pernah menyertai sebarang pertandingan sebegini sebelum ini.
“Saya rasa hendak mencuba dan mempelajari sesuatu yang baharu. Harapan? Tidak pasti kerana persaingan peserta di sini sangat hebat tetapi kita lihat nanti bagaimana,” katanya. – UTUSAN ONLINE