BERLIN – Firma automotif ternama Jerman, Volkswagen mengumumkan model ikoniknya, Beetle, atau lazim disebut ‘kodok’ kerana bentuknya; akan dihentikan pengeluarannya mulai tahun depan.
Kereta yang diinspirasi daripada serangga kumbang itu sudah digunakan sejak Perang Dunia Kedua dan kemudian pernah menjadi fenomena global namun, model ini sekarang terpinggir ekoran dasar baharu Volkswagen sendiri.
Syarikat yang diasaskan pada 1937 oleh pemimpin legenda Jerman, Adolf Hitler dengan slogan kereta rakyat itu ketika ini mula menekankan pengeluaran model elektrik jimat tenaga dan kenderaan konsep keluarga bersaiz besar.
“Dengan pelan masa hadapan lebih fokus kepada kereta jenis keluarga dan elektrik, setakat ini belum ada rancangan untuk menggantikan VW Beetle,” kata Pengarah Eksekutif Volkswagen Amerika Syarikat (AS), Hinrich Woebcken.
Namun jelas beliau, pihak pengurusan syarikat itu tidak ‘menutup pintu’ adanya perubahan keputusan pada masa akan datang. Model asal itu dirujuk oleh pihak Volkswagen sebagai Type 1 dan sudah mula dikeluarkan sejak 1938.
Setakat ini, jualan kereta dua pintu itu merekodkan sebanyak hampir 22 juta unit dan dihasilkan menerusi 19 buah kilang di 15 negara termasuk Malaysia. Model ini bermula dengan 1200, 1300, 1500 dan terbaharu 1302 atau 1303.
“Hilangnya Beetle setelah tiga generasi atau sekitar 70 tahun, akan jadi suatu isu amat emosi bagi jutaan penggemar Beetle,” tambah Hinrich. Justeru Volkswagen bakal membuat dua model edisi terakhir jenis coupe atau covertible.
Sejarah kereta unik ini bermula sejak era Nazi di Jerman sebelum dikembang Ferdinand Porsche dengan dukungan penuh Hitler. Selepas Perang Dunia Kedua, Volkswagen berjaya menghidupkan kembali industri automotif Jerman.
Model ini pertama kali dipasarkan di AS pada 1950-an tetapi jualan tidak terlalu baik ekoran latar belakang sejarah syarikat itu yang pernah menjadi milik parti buruh di bawah Nazi mengakibatkan ramai pelanggan kurang berminat.
Bagaimanapun pada 1959, iklan diterbitkan Doyle Dane Bernback memberi nama “Beetle” untuk model kereta mini ini dengan merujuk keunikan ukurannya yang kecil sekali gus mula lonjak penjualannya di pasaran seluruh dunia.
Bermula dengan enjin berkuasa 1,100 cc sebelum ditingkatkan kepada 1,600 cc, kereta kompak harga ekonomi ini sebenarnya sudah diganti dengan model New Beetle pada 1997 dengan enjin di hadapan berbanding sebelumnya.
Populariti kereta ini pernah menjadi kegilaan setelah muncul menerusi filem “The Love Bug” keluaran Disney pada 1968 yang mengisahkan sebuah Volkswagen mampu berfikir sendiri seperti manusia. – Agensi/Mynewshub.TV