SELEPAS sedekad bercukur secara rahsia, Jessica nekad membiarkan wajah aslinya yang ditumbuhi jambang.
PENNSYLVANIA, Amerika Syarikat – Seorang wanita yang menghabiskan masa selama 10 tahun bercukur untuk menyembunyikan jambang yang dimiliki kini nekad untuk tampil dengan wajah sebenarnya.
Jessica More, 36, dari Newburg, dekat sini mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS) di mana kadar hormon lelaki yang tinggi menyebabkan peningkatan pertumbuhan bulu pada wajahnya.
Menurut ahli terapi urutan itu, keyakinan diri yang rendah membuatkan dia malu berhadapan dengan orang ramai yang pelik apabila melihatnya mempunyai jambang seperti lelaki.
Bagaimanapun, selepas membaca pelbagai kisah mengenai wanita berjambang, Jessica nekad untuk mengekalkan wajah aslinya. Malah suaminya, Francis More, 37, turut memberi sokongan pada Jessica dengan cara dia tidak mencukur jambangnya.
“Suami sudah lama memujuk saya agar berhenti bercukur, tetapi saya mengambil masa yang lama untuk mendengar cakapnya. Kini, kami sering berkongsi produk seperti minyak dan pencuci jambang. Sokongannya sangat bermakna buat saya,” kata Jessica.
Jessica mula disahkan menghidap PCOS sewaktu remaja apabila dia menyedari terdapat rambut halus tumbuh di dagunya.
Pada Disember 2017, Jessica membuat keputusan untuk berhenti menyembunyikan jambangnya selepas dia mengalami luka ketika bercukur secara tergesa-gesa di sebuah kawasan meletak kereta sebelum menghadiri satu mesyuarat penting. – Agensi/Kosmo Online