KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak supaya Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Jawatankuasa Pemilihan PKR dikenakan tindakan tegas oleh parti itu.
Timbalan Ketua Wanita PKR yang juga calon Ketua Wanita PKR dan Exco kerajaan Selangor, Haniza Talha berkata, ia kerana hari pertama pemilihan PKR berdepan dengan kegagalan sistem e-voting yang digunakan.
“Amaran dan desakan oleh pimpinan dan anggota kepada Setiausaha Agong tentang sistem baru yang dikhuatiri kemampuan, ketelusan dan kestabilan telah dinyatakan berkali-kali namun tidak diambil perhatian.
“Perkara yang dikhuatiri akan berlaku sudah terjadi dan Jawatankuasa Pemilihan Parti tidak bersedia langsung dengan kemungkinan kegagalan sistem sehingga terpaksa membatalkan proses pemilihan di negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Haniza berkata, tindakan yang tidak bertanggungjawab Jawatankuasa Pemilihan PKR itu mewajarkan keputusan yang tegas diambil oleh kepimpinan tertinggi parti terhadap Setiausaha Agung parti.
Katanya, JPP patut digantikan dengan badan bebas seperti badan bukan kerajaan (NGO) BERSIH untuk mengendali proses pemilihan kali ini.
“Wanita Keadilan juga berpandangan, Setiausaha Agong harus bersifat neutral dalam urusan pengendalian pemilihan selepas ini kerana beberapa kali telah dilihat menzahirkan sokongan kepada calon yang bertanding.
“Wanita mendesak kepimpinan tertinggi parti membuat keputusan serta bertindak segera bagi membetulkan kegagalan proses pemilihan yang telus dan bersih dapat dilaksanakan,” katanya. – MYNEWSHUB.TV