IPOH – Sayap Wanita PKR perlu mencontohi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai model kepimpinan dalam meneraju kepimpinan parti pada masa akan datang.
Naib Presidennya, Fuziah Salleh berkata kepimpinan Dr Wan Azizah, yang menggalas tugas sebagai pemimpin nombor dua negara, dilihat sebagai seorang yang tegas dan berani dalam membuat sesuatu keputusan.
“Beliau (Dr Wan Azizah) seorang yang sangat lembut tetapi tegas serta bijaksana dalam mengambil sesuatu tindakan, jadi inilah model kepimpinan wanita yang kita hendak contohi.
“Ini kerana sejak 10 tahun yang lepas, apa yang saya perhatikan kita tidak nampak Wanita PKR mempunyai kebijaksanaan dalam memainkan peranan untuk memperkasakan parti, ramai yang hanya tahu menjadi pak turut semata-mata,” katanya.
Fuziah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata demikian kepada pemberita selepas Program Dialog bersama Pimpinan Wanita Keadilan di sini yang turut dihadiri calon Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail, yang merupakan exco kerajaan negeri Selangor.
Terdahulu, Fuziah, yang juga calon Ketua Wanita PKR, dalam ucapannya berkata tindakan beliau kembali bertanding jawatan itu pada pemilihan parti kali ini bertujuan mempertahankan agenda reformasi yang diperjuangkan parti berkenaan.
“Sebelum saya mengambil keputusan (bertanding jawatan ketua wanita) saya terlebih dahulu telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presidsen PKR) dan Dr Wan Azizah serta ramai yang mahu saya menerajui kembali kepimpinan wanita.
“Saya bersetuju untuk bertanding jawatan ini bukan sebab hendakkan sebarang kedudukan atau apa-apa projek tetapi saya mahu menyelamatkan kepimpinan parti,” katanya.
Fuziah, bekas Ketua Wanita PKR dari tahun 2000 hingga 2007, berkata parti itu memerlukan pemimpin yang mempunyai prinsip jelas dalam memperjuangkan agenda parti.
Jawatan ketua wanita itu kini disandang Zuraida Kamaruddin, yang dijangka bertanding jawatan naib presiden, pada pemilihan parti kali ini. – BERNAMA