BUENOS AIRES – Dua belas pemain bola sepak remaja Thailand dan jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua di negara itu sekali lagi mendapat perhatian media.
Kali ini pasukan itu mengadakan perlawanan persahabatan pada Ahad menentang pasukan bola sepak belia River Plate dari Argentina.
Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan menunjukkan permainan yang baik dengan keputusan berakhir seri 3-3.
Perlawanan persahabatan pada Ahad itu diadakan sehari sebelum upacara perasmian Sukan Olimpik Belia Buenos Aires yang berlangsung 6 hingga 18 Oktober di negara Amerika Selatan itu.
Hampir 4,000 atlet berusia antara 15 dan 18 tahun mengambil bahagian dalam acara sukan berkenaan.
Pasukan remaja Thailand itu dikenali di seluruh dunia selepas terperangkap di dalam gua pada 23 Jun, sebelum berjaya diselamatkan 10 Julai lalu. – astroawani.com