SUATU ketika dahulu nama Ali XPDC atau Ali Terra Rosa dan Mel Wings pernah mewarnai pentas rock tanah air bersama kumpulan masing-masing.
Beraksi ligat dan lincah di pentas persembahan, bagi mereka tiada apa yang luar biasa berhubung kemasyhuran yang ditempa.
Kini seiring perubahan masa, usia dan keadaan, dua nama besar yang disegani dalam gelanggang muzik rock itu semakin selesa dengan penghijrahan yang menjadi pilihan mereka sejak beberapa tahun lalu.
Imej yang dahulunya sentiasa berpakaian ranggi dan berseluar jeans kini berubah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dengan persalinan jubah berserban.
Bertemu dengan ‘otai’ rock itu usai program Tamankan Hati Warga Utusan yang diadakan di Dewan Utusan Melayu baru-baru ini, dua figura itu tidak pula mahu dianggap sudah hilang dari radar dunia seni.
Dengar nasihat ustaz
Bagi Ali XPDC atau Ali Terra Rosa, 50, perlahan-lahan dia cuba meninggalkan dunia hiburan kerana mahu ‘mencari diri’. Pencariannya itu nyata menemui perkara yang sudah lama didambanya iaitu ketenangan.
Pun begitu, biarpun sudah berhijrah dan acap kali dijemput untuk menghadiri majlis-majlis agama, api cintanya terhadap dunia seni masih belum terpadam.
Pernah menerbitkan sebuah album berkonsepkan ketuhanan, Maghfirah Mu empat tahun lalu, Ali atau Mohd Ali Ismail enggan mengundurkan diri dalam bidang ini selagi dirinya diperlukan.
“Seorang ustaz pernah menasihati saya supaya tidak berhenti menyanyi. Kata ustaz itu lagi, suara saya ini anugerah daripada Tuhan dan kerana itu saya perlu gunakan kelebihan itu ke arah kebaikan.
“Mengambil nasihat dan pesanan ustaz itu, maka saya terbitkan album Maghfirah Mu. Dalam album itu banyak mesej baik yang diselitkan untuk mengajak anak-anak muda sentiasa mengingatkan Tuhan dan jangan lupakan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya,” kata Ali bercerita.
Pada masa sama, Ali yang pernah popular dengan lagu Bunga Angkasa juga tidak kisah seandainya diminta menyanyikan seleksi lagu-lagu lama zaman rock yang mempopularkan dirinya sebelum ini.
Katanya, tidak mungkin dia menolak permintaan khalayak yang mahukan dia menyanyikan lagu rock memandangkan mereka mengenali dirinya menerusi lagu-lagu popular berkenaan.
“Saya tiada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu XPDC dan Terra Rosa. Kedua-dua itu adalah jenama saya sewaktu mencari rezeki dalam dunia seni, tidak mungkin saya menolak permintaan peminat.
“Soal berjubah dan berkopiah ketika menyanyi itu saya rasa biarlah ikut kesesuaian. Saya tidak mengukur tahap keimanan seseorang dari segi imej atau baju semata-mata.
“Kalau rasa pakai jubah tak sesuai, saya okey sahaja mengenakan pakaian biasa. Prinsip saya mudah sahaja, tidak semestinya orang yang tak pakai jubah itu orang jahat,” katanya tegas penuh makna.
Sebetulnya, sepanjang tujuh tahun berhijrah, Ali aktif melibatkan diri dalam majlis-majlis ilmu termasuk di luar negara. Penglibatan aktif dalam majlis ilmu bagaimanapun tidak pernah memberikan sebarang kesulitan untuk dia mengimbangi kerja dakwah dan karier seni.
“Kedua-dua profesion ini adalah jiwa saya walaupun pada awal berhijrah dulu saya pernah memikirkan untuk fokus sepenuh masa mendalami ilmu keagamaan,” ujar Ali yang turut menolak dipanggil ustaz kerana menyedari masih belum layak memikul tanggungjawab besar tersebut.
“Saya bukan ustaz dan jangan panggil saya dengan gelaran itu. Saya sedar masih belum cukup ilmu walaupun sering diundang ke program tazkirah dan motivasi sehingga ke selatan Thailand,” jelas Ali.
Sebagai manusia yang sifatnya serba kekurangan, Ali mengakui, masih banyak ilmu yang perlu dituntut dan semua itu dilakukan secara perlahan-lahan.
Baginya, dalam mencari pahala, dia tidak perlu agresif kerana apa yang paling utama ialah kerja-kerja murni itu harus dilakukan dengan tenang.
Dalam kedudukannya sebagai artis, Ali juga tidak menolak, pada awal penghijrahannya dia sering dicemuh dan disindir.Namun, menyedari dia ada matlamat tersendiri, segala cemuhan dan sindiran dianggap sebagai dugaan kecil buatnya.
Dalam kesibukan memenuhi undangan perkongsian ilmu, Ali masih meluangkan masa dalam rancangan menerbitkan album berkonsepkan kerohanian berjudul Daie bersama-sama dengan Mel Wings, Ejam EYE dan Iwan yang akan dipasarkan tidak lama lagi.
“Selain itu XPDC juga akan mengadakan sebuah konsert dengan kumpulan May, cuma tarikh masih belum diputuskan buat masa ini,” kata Ali mengenai rancangan seninya.
Teguran daripada Yang Maha Esa
PERISTIWA diserang angin ahmar empat tahun lalu benar-benar memberi kesan kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu Semalam Yang Hangat, Mel Wings.
Ujian itu itu memberi kesedaran buatnya untuk lebih berjaga-jaga khususnya amalan pemakanan agar perkara sama tidak berulang
Malah kejadian itu yang melumpuhkan separuh badannya, sekali gus membataskan dirinya untuk mencari rezeki buat keluarga.
Rentetan itu, Mel mulai sedar erti persahabatan sebenar dalam hidupnya apabila dilanda musibah.
“Alhamdulillah saya kini semakin beransur pulih dan bersemangat untuk menjalani gaya hidup sihat. Kadangkala bila terkenang semula insiden itu, memang saya jadi takut.
“Tetapi itu semua kerja Tuhan, saya hanya reda dan paling penting jangan putus harap. Kesan daripada sakit itu saya pelat nak sebut huruf R dan S, meskipun penyakit itu sudah lama berlaku.
“Waktu saya susah dulu, Ali banyak menghulurkan bantuan. Masa itulah baru kita sedar Tuhan memberi petunjuk siapa kawan sebenar dalam hidup saya,” ulasnya yang masih bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan bagi mengawal tekanan darah dalam badan.
Masih lagi aktif dalam arena seni suara, namun Mel hanya memilih untuk mengalunkan lagu-lagu berunsur ketuhanan demi mencari keberkatan.
Menguak lembaran dua dekad lalu, Mel antara penyanyi rock legenda sebaris nama-nama besar seperti Datuk Awie, Amy Search, Saleem.
Kepada Mel, apa yang berlalu, biarkan pergi menjadi lipatan sejarah dalam kamus hidupnya dan dia tidak terfikir untuk beraksi lincah seperti zaman kegemilangannya dahulu.
“Kalau menyanyi pun sekarang ini saya nak pilih yang konsep memuji Tuhan. Kalau yang unsur rock mungkin tidak lagilah.
“Namun begitu, kalau ada yang buat permintaan untuk saya nyanyikan lagu lama, apa salahnya sekali sekala kita berhibur asalkan tidak berlebih-lebihan.
“Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Dulu duit senang dapat, senang habis. Sekarang, walaupun tidak semewah dahulu tetapi alhamdulillah cukup buat saya sekeluarga.
“Saya percaya itulah keberkatannya apabila kita sentiasa meletakkan Dia di atas dan tak pernah melupakan-Nya,” kata Mel lagi. – UTUSAN ONLINE