JOHOR BAHRU – Dua wanita warga emas berdepan cetik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terperangkap dalam banjir kilat di Taman Sentosa, berhampiran sebuah bank di sini, hari ini, ekoran hujan lebat sejak pukul 3 petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Zaid Iskandar Mohd Nor berkata kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada Nuriah Abdullah, 85, dan rakannya, Juliette Lai, 75.
Katanya, Bomba menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4 petang dan menghantar sebuah jentera bersama 11 anggota ke lokasi kejadian dan berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa setengah jam kemudian.
“Sebaik tiba, didapati terdapat dua wanita warga emas berada dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor Bahru Leftenan Mohd Aziz Jupri berkata banjir kilat itu berlaku di lima kawasan di daerah ini.
Kawasan terjejas adalah Kampung Hajah Hasnah, Kampung Bendahara, Kampung Mohd Amin dan Jalan Kijang dan setakat ini, sebuah pusat pemindahan telah dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Nong Chik namun jumlah mangsa terlibat belum dapat disahkan.
Selain itu, hujan turut mengakibatkan hakisan tanah di dua tapak asrama Rumah Seri Kenangan Johor Bahru di Jalan Ithnin, Kampung Ungku Mohsin serta peningkatan paras air Sungai Tebrau.
“Asrama terlibat adalah Asrama Anggerik yang menempatkan 112 penghuni perempuan dan Asrama Kenangan melibatkan 56 penghuni lelaki.
“Mereka akan dipindahkan ke blok bangunan lain sementara Jabatan Kerja Raya melakukan penilaian kerosakan,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, APM akan terus memantau keadaan banjir itu. – BERNAMA