THESSALONIKI – Tiga wanita yang ditemui mati di sempadan Greece-Turki, mempunyai kecederaan menunjukkan mereka mungkin menjadi mangsa insiden jenayah, kata polis semalam.
Satu pemeriksaan forensik perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian selepas wanita terbabit ditemui berhampiran Sungai Evros kelmarin dengan kesan kecederaan leher akibat ‘objek tajam,’ kata sumber polis.
Evros, yang menandakan sempadan antara Greece dan Turki adalah lintasan utama pendatang dan pelarian yang berusaha mendapatkan suaka politik selain pintu masuk ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Satu siasatan awal mendapati, tiga mangsa berusia antara 15 hingga 25 tahun dan kemungkinan berketurunan Asia. Tidak jelas jika mereka pendatang atau pelarian.
Mayat mangsa ditemui seorang petani dalam sebuah ladang di tebing Evros di mana jumlah meningkat pendatang dan pelarian berusaha menyeberangi laluan itu susulan tindakan keras di sempadan oleh negara timur Eropah.
Polis tempatan memanggil tambahan anggota ketika Athens berusaha mengukuhkan kawalan di sempadan. Menurut pihak berkuasa Greece, 12 orang lemas dalam sungai antara Januari dan Julai lalu.
Menurut data polis, lebih 8,400 pendatang dan pemohon suaka ditahan di sempadan dalam enam bulan pertama tahun ini, berbanding 1,600 dalam tempoh sama tahun lalu. – AFP/BH ONLINE