FACEBOOK boleh dikenakan denda lebih £1.2 bilion (RM6.48 bilion) berikutan pelanggaran data yang besar yang menyaksikan kebocoran butiran akaun 50 juta pengguna laman sosial itu.
Pemantau privasi Kesatuan Eropah (EU), Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland menuntut maklumat daripada rangkaian sosial itu mengenai skala pelanggaran yang berlaku Jumaat lalu.
Sejak itu, akaun pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dan dua lagi eksekutif tertinggi turut digodam.
Wall Street Journal memetik suruhanjaya itu sebagai berkata, kebimbangan terhadap pelanggaran yang dikesan pada Selasa dan memberi kesan kepada jutaan akaun pengguna tetapi Facebook tidak dapat menjelaskan mengenai pelanggaran dan risiko kepada pengguna ketika ini.
Facebook dikatakan mengambil perhatian terhadap pelanggaran itu secara serius, dan melakukan siasatan.
Menurut laporan New York Post, Zuckerberg dan Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg, dan Naib presiden Eropahnya, Nicola Mendelsohn merupakan antara pemilik akaun yang digodam.
Naib Presiden Pengurusan Produk di Facebook, Guy Rosen berkata: “Kami mengambil perkara ini secara serius dan mahu memaklumkan kepada semua mengenai apakah yang berlaku, dan tindakan segera diambil untuk melindungi keselamatan orang awam.” – Mirror Online UK/mStar Online