ABUJA, Nigeria – Pihak berkuasa Nigeria mengisytiharkan perintah berkurung 24 jam di negeri Kaduna kelmarin selepas pergaduhan antara belia Kristian dan Islam meragut sekurang-kurangnya 55 nyawa.
Gabenornya, Nasir El-Rufai menyatakan dalam satu kenyataan di Facebook: “Kerajaan negeri mengisytiharkan perintah berkurung di bandar Kaduna dan kawasan sekitarnya bagi menangani situasi semasa.”
Bandar Kaduna merupakan ibu negeri Kaduna.
Kaduna terjerumus ke dalam kancah keganasan kaum pada minggu ini selepas pertempuran tercetus antara belia etnik Hausa yang beragama Islam dan puak Kristian Adara di sebuah pasar di bandar Kasuwan Magani berikutan perbalahan antara tiga penolak kereta sorong.
Dua orang dikatakan terbunuh dalam pergaduhan awal di pasar itu pada Khamis lalu. Keganasan menjadi semakin buruk apabila belia Adara secara tiba-tiba menyerang penduduk Hausa. Mereka membakar banyak kediaman dan membunuh berpuluh-puluh penduduk Islam tersebut.
“Kebanyakan pembunuhan berlaku semasa serangan kedua yang mengejutkan komuniti Hausa,” kata penduduk Kasuwar Magani, Muhammadu Bala kepada agensi berita AFP.
Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya Polis Negeri Kaduna, Ahmad Abdur-Rahman memberitahu pemberita pada Jumaat lalu bahawa seramai 22 orang telah ditangkap berhubung keganasan itu.
Negeri Kaduna menyaksikan pertembungan penduduk Islam dari utara Nigeria dengan puak Kristian di selatan negara itu. Keganasan agama pernah berlaku di Kaduna sebelum ini.
Pada Februari lalu, pertempuran bermotifkan agama menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dengan ratusan buah kediaman dan premis perniagaan dibakar. Beribu-ribu orang terbunuh di Nigeria disebabkan oleh keganasan agama pada tahun 2000 dan 2002. – AFP/KOSMO ONLINE