KUALA TERENGGANU – Enam pemilik gerai makan di medan selera berhadapan Muzium Kemaman di Chukai, Kemaman kerugian kira-kira RM500,000 selepas premis mereka musnah dalam satu kebakaran hari ini.
Kejadian kira-kira 8.20 pagi itu dikatakan bermula di bahagian dapur sebuah kedai sebelum merebak ke bahagian lain menyebabkan peniaga serta pelanggan yang sedang makan bergegas keluar dari premis itu untuk menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata tindakan pantas anggota bomba yang tiba di lokasi kira-kira 8.38 pagi, berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke pejabat teksi dan bangunan Arked Mara di belakang deretan kedai itu.
“Seramai 19 pegawai dan anggota daripada BBP Kemaman yang dibantu BBP Chukai serta tiga jentera dikerah ke lokasi bagi operasi tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Katanya api dapat dipadamkan sepenuhnya pada kira-kira 10.15 pagi.
Kesemua peniaga dan pelanggan tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. – BERNAMA