IPOH – Sejumlah 7,000 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) akan dilantik secara kontrak bagi mengisi jawatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 1 Jan tahun depan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sejumlah 4,000 graduan ILKKM akan dilantik mengisi kekosongan jawatan secara kontrak untuk tempoh empat tahun pada pelaksanaan fasa pertama.
“Kalau kita mahu memberi mereka (graduan ILKKM) jawatan secara tetap ia mungkin tidak mencukupi untuk menampung, jadi kita boleh mengambil mereka sebagai lantikan kontrak bagi mengatasi masalah berkenaan sejak 2017.
“Bagaimanapun, bagi graduan yang mendapat kelulusan cemerlang akan diserap terus untuk mengisi jawatan tetap di kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil dan diploma kepada graduan institut latihan berkenaan sempena Majlis Konvokesyen 2018 di ILKKM Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.
Seramai 8,124 graduan menerima sijil dan diploma sepanjang tiga hari konvokesyen itu berlangsung sejak Sabtu lepas.
Terdahulu, Boon Chye dalam ucapannya berkata kementerian mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak April tahun ini untuk cadangan pelantikan graduan ILKKM secara kontrak dan jabatan itu secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut.
Dalam pada itu, menurutnya, kementerian juga akan mewujudkan jawatan tambahan dalam skim paramedik dan auksiliari menerusi tukaran jawatan skim perkhidmatan yang lain.
“Kementerian juga akan laksanakan pengisian jawatan kenaikan pangkat menerusi urusan pemangkuan serta pengisian. Ini bertujuan untuk membantu mengosongkan jawatan di gred lantikan,” katanya.- BERNAMA