KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Rabu ini.
Menurut sumber, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri diminta hadir pada 10 pagi untuk membantu siasatan SPRM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Ahmad Zahid melalui laman Twitter rasminya berkata beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
“Saya hanya akan memberi keterangan… atas permintaan peribadi, saya meminta agar tiada sebarang perhimpunan diadakan pada hari Rabu nanti di ibu pejabat SPRM,” katanya.
Pada Julai lepas, Ahmad Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi. – BERNAMA