GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik saranan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamaluddin untuk memartabatkan golongan muda dalam negara.
Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata saranan itu bertepatan dengan aspirasi Malaysia Baharu yang ingin melihat golongan muda menjadi suara penting dalam pembentukan negara.
“Bagaimanapun AMK berharap MBM dapat melaksanakan penetapan had umur bagi kategori orang muda antara 15 tahun hingga 30 tahun, berbanding umur 15 hingga 40 tahun sebelum ini.
“Kami berpendapat had umur 15 hingga 30 tahun itu adalah umur yang sesuai dikategorikan sebagai orang muda dan sewajarnya hanya orang muda yang berumur bawah 30 tahun itulah selayaknya dipilih menjadi pemimpin dalam kalangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini sebagai mengulas ucapan Mua’amar Ghadafi pada mesyuarat perhimpunan agung tahunan MBM kali ke-67 semalam yang antara lain bertekad untuk memartabatkan golongan muda di Malaysia.
Dr Afif, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa serta Kesihatan Pulau Pinang, berkata AMK berhasrat meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar menyegerakan pelaksanaan had umur orang muda itu untuk memacu golongan berkenaan ke arah yang lebih baik pada masa hadapan. – BERNAMA