DEDAH… “Layakkah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin negara walhal beliau masih memiliki sebanyak 57 saman polis trafik berjumlah RM8,730?” soal seorang aktivis sosial tempatan.
Mujahidin Zulkiffli melontarkan pertanyaan cepumas itu kepada portal berita The Star Online hari ini sambil dakwa Presiden PKR tersebut disaman sejak Februari 1999 setelah dilucutkan jawatan politik dan kerajaan pada 1998.
Malahan kesemua saman berkenaan direkodkan termasuk ketika Anwar masih lagi dalam tempoh hukuman penjara di Sungai Buloh, Selangor dari April 1999 sehingga September 2004 dan dari Februari 2015 sehingga Mei 2018 lalu.
Antara kesalahan trafik yang dilakukan menurut Mujahidin dipetik laman sesawang tersebut, termasuk memandu kenderaan dengan melebihi had kelajuan dibenarkan dan melanggar lampur isyarat merah di persimpangan jalan.
Bagaimanapun kesemua saman berkenaan dipercayai dilakukan pemandu kenderaan Anwar ketika urusan bawa pemimpin PKR itu sama ada berulang-alik ke mahkamah atau semasa beliau mendapatkan rawatan di hospital.
“Walaupun Anwar dilaporkan banyak menghabiskan masa dalam penjara, namun beliau sepatutnya ada banyak masa untuk selesaikan saman ini dan tiada alasan konon tidak tahu kerana boleh disemak secara talian,” jelasnya.
Dalam nada sinis, Mujahidin berkata: “Jika beliau tidak sempat, pembantunya boleh tolong semak dan bayar. Ini dibimbangi jadi contoh buruk kepada rakyat apabila bakal perdana menteri boleh pula ada puluhan saman trafik.”
Untuk rekod, semua saman polis sama ada individu atau kenderaan sebenarnya turut boleh diperiksa menerusi aplikasi khidmat sistem pesanan ringkas manakala jenis kesalahan dilakukan itu boleh disemak melalui e-mel.
The Star Online juga melakukan semakan berdasarkan maklumat diberi Mujahidin dan semua rekod tersebut memang di bawah nama calon Pakatan Harapan itu yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.
Portal berkenaan turut cuba berusaha menghubungi Anwar bagi mendapatkan ulasan lebih lanjut mengenai isu tunggakan saman trafik tersebut tetapi setakat ini belum ada kenyataan dikeluarkan. – Agensi/Mynewshub.TV