PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan dua bot dan 18 nelayan Vietnam kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara semalam.
Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata kedua-dua bot berkenaan ditahan di lokasi 55 batu nautika dan 57 batu nautika dari Muara Tok Bali, masing-masing pada pukul 6.30 petang dan 7.30 malam.
“Ketika Kapal Maritim (KM) Jujur menghampiri lokasi berkenaan, salah sebuah daripada bot tersebut cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan selepas dikejar lebih satu batu nautika, “ katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali di sini, hari ini.
Nurul Hizam berkata suspek yang berusia antara 18 hingga 42 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.
Beliau berkata selain dua bot, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan dan 70,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Dalam perkembangan sama, Nurul Hizam berkata sepanjang tempoh Januari hingga semalam, APMM Kelantan berjaya menahan 31 bot dengan 18 daripadanya membabitkan bot nelayan Vietnam yang telah diklon (menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan) bagi mengelirukan anggota penguatkuasa.
Beliau berkata akibat pencerobohan itu negara dianggarkan kehilangan hasil laut melebihi RM50 juta.
Katanya walaupun berdepan kekangan termasuk kekurangan aset namun APMM Kelantan akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan 27,600 batu nautika di negeri ini. – BERNAMA