DUBAI – Arab Saudi memberi amaran akan bertindak terhadap sekatan dikenakan ke atas negara kaya minyak itu berikutan kehilangan wartawan Jamal Khashoggi, susulan kejatuhan pasaran saham Riyadh.
Dari gergasi teknologi hingga taikun media, sekumpulan syarikat Barat kini mula menjauhkan diri mereka dari negara Teluk itu, menyebabkan usaha pembaharuan ekonomi Putera Mahkota Mohammed Salman berdepan risiko.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengugut sekutu Arab Saudi Sabtu lalu dengan hukuman berat jika Khashoggi yang sering mengkritik Putera Mohammed dibunuh dalam misinya ke Istanbul.
Riyadh bagaimanapun berikrar untuk menentang sebarang pendekatan berbentuk hukuman yang digunakan ke atas mereka.
“Negara ini sekali lagi menegaskan penolakan sepenuhnya sebarang ancaman atau cubaan untuk melemahkan sama ada menerusi ugutan melaksanakan sekatan ekonomi atau penggunaan tekanan politik,” kata sumber rasmi yang dipetik agensi berita negeri SPA.
Katanya, Riyadh akan melaksanakan tindakan lebih besar ke atas sebarang perkara dikenakan ke atas mereka dan menarik perhatian bahawa kuasa besar minyak itu memainkan peranan utama serta efektif dalam ekonomi dunia.
Menurut stesen televisyen milik Arab Saudi, Al Arabiya, negara berkenaan memiliki lebih 30 pendekatan yang boleh digunakan bagi memerangi semua sekatan.
Ia termasuk menggunakan penjualan minyak dan senjata, pertukaran maklumat antara Riyadh dan Washington dan kemungkinan perdamaian semula dengan musuh tradisi Iran.
Susulan kenyataan Riyadh bahawa mereka akan bertindak ke atas sekatan, Britain, Perancis dan Jerman mengeluarkan kenyataan bersama memberi jaminan ketiga-tiga negara itu menangani kehilangan Khashoggi secara serius. – AFP/BH ONLINE