DUBAI – Arab Saudi memecat dua pegawai kanannya selepas mengakui wartawan yang hilang, Jamal Khashoggi mati di dalam kedutaan kerajaan itu di Istanbul dalam insiden yang mencalar hubungan antara Riyadh dan Barat.
Pendakwa awam Arab Saudi, dalam satu kenyataan berkata berlaku pergaduhan di antara Khashoggi dan pihak yang ditemuinya di konsulat berkenaan hingga membawa kepada kematiannya.
“Siasatan masih lagi berjalan dan setakat ini 18 warga Arab Saudi sudah ditahan. Seorang penasihat kerajaan, Saud al-Qahtani dan timbalan ketua perisikan Ahmed Asiri dipecat dari jawatan mereka,” kenyataan itu menyebut.
Khashoggi, yang sering mengkritik pentadbiran Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, hilang selepas memasuki konsulat pada 2 Oktober lalu untuk mendapatkan dokumen bagi urusan perkahwinan dengan tunangnya seorang warga Turki.
Pegawai Turki sebelum ini percaya, kolumnis akhbar Washington Post itu terbunuh di dalam bangunan berkenaan.
Arab Saudi sebelum ini menafikan dakwaan itu dan berkata Khashoggi sudah meninggalkan bangunan itu. – Reuters/BH ONLINE