SEOUL – Amerika Syarikat (AS) membantah rancangan Korea Selatan dan Korea Utara mewujudkan zon larangan terbang di sempadan kedua-dua negara, kata dua sumber yang arif berhubung perkara itu kepada agensi berita Reuters.
Washington dan Seoul secara terbuka bertegas bahawa kedua-duanya sepakat dalam menangani Pyongyang tetapi di belakang tabir, percanggahan antara AS dan Korea Selatan semakin ketara. Perbalahan itu berlaku ketika Seoul dan Pyongyang meneruskan perjanjian untuk meredakan ketegangan tentera dan membina semula hubungan ekonomi di Semenanjung Korea.
Perjanjian tentera itu yang dimeterai semasa sidang kemuncak di Pyongyang bulan lalu, merupakan antara persetujuan paling konkrit antara Korea Selatan dan Utara pada tahun ini.
Bagaimanapun, pegawai-pegawai AS menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian itu akan menjejaskan kesiapsediaan pertahanan dan dikhuatiri tidak akan menyumbang kepada proses perlucutan senjata nuklear oleh Korea Utara.
Persetujuan antara Seoul dan Pyongyang itu termasuk memansuhkan ‘semua tindakan agresif’, mewujudkan zon larangan terbang dan memindahkan semua periuk api serta pos kawalan di Zon Bebas Tentera.
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menyuarakan perasaan tidak puas hati beliau mengenai perjanjian tersebut semasa menghubungi Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha minggu lalu tetapi Washington dijangka tidak akan mengemukakan bantahan terbuka terhadap inisiatif dua Korea itu.
Zon larangan terbang itu akan dikuatkuasakan pada 1 November ini dan akan merangkumi kawasan seluas 40 kilometer dari utara, selatan dan timur Garisan Penandaan Tentera serta 20 kilometer dari arah barat.
Pengecualian hanya diberikan kepada pesawat komersial dan operasi bukan ketenteraan bagi tujuan seperti perubatan, bantuan bencana serta pertanian. – Reuters/KOSMO ONLINE