AMERIKA Syarikat kelihatan semakin kuat mahukan hubungan lebih baik dengan Pakistan, pada masa yang sama mahu berunding dengan Taliban yang semakin berkuasa di Afghanistan.
Baru-baru ini, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mendesak Taliban Afghanistan hadir ke meja rundingan dan pada masa yang sama menggesa Pakistan mengambil peranan menyokong usaha ini, kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pompeo mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Pakistan Shah Mehmood Qureshi di Washington, dalam satu usaha terbaru AS memulihkan hubungan dengan Pakistan.
Pompeo beberapa bulan lalu bertemu Perdana Menteri Imran Khan di Islamabad, meminta kerajaan Pakistan berperanan hingga dapat menghasilkan satu keputusan perdamaian di Afghanistan, menurut jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert.
Menurut Jabatan Negara AS, Pompeo “melihat wujud momentum untuk meneruskan proses damai Afghanistan, dan Taliban Afghan perlu segera mengambil peluang untuk berdialog.”
Pompeo dilaporkan berkata kepada Qureshi bahawa AS bersedia bekerjasama dengan kerajaan baharu Pakistan.
“Setiausaha Pompeo berbincang tentang kepentingan Amerika Syarikat bekerja bersama Pakistan untuk mencapai prioriti bersama, mengiktiraf yang kerjasama dua hala membawa manfaat kepada kedua-dua pihak dan menjadi faktor kestabilan di Asia Selatan,” katanya.
Kedua-dua Pompeo dan Qureshi bersetuju untuk terus bekerjasama dan menegaskan lagi hasrat untuk meneruskan dialog demi kepentingan bersama.
Kedua-dua pertama kali bertemu di Islamabad awal bulan lalu ketika AS dalam usaha mendekati Pakistan untuk mendengar pandangan kerajaan baharu berhubung isu-isu penting yang telah menjejaskan hubungan kedua-dua kerajaan.
Washington mendakwa Pakistan terlibat membantu Taliban Afghanistan, yang terlibat dalam serangan-serangan di negara jiran Pakistan itu termasuk terhadap tentera AS.
Perkembangan ini menunjukkan yang Washington sedang berusaha membina kembali hubungan dengan Pakistan, dan memperlihatkan yang kuasa besar itu turut mahukan penyelesaian di Afghanistan, yang kini merupakan medan perang panjang AS, yang dimulakan sejak 2001.
Kesediaan untuk mengajak Taliban berdialog juga menunjukkan yang Washington menganggap kumpulan itu semakin berpengaruh di Afghanistan dan perlu ditangani segera.
Taliban semakin menggugat kerajaan pusat di Kabul yang disokong oleh AS. – Mynewshub.tv