THE HAGUE – Amerika Syarikat menuduh Tehran sebagai ‘bertangan kotor’ dalam usaha mencabar tindakan mahkamah oleh Iran untuk mendapatkan semula dana berjumlah AS$2.0 bilion (RM8.32 bilion) yang diperuntukkan Washington ke atas mangsa keganasan.
Menurut Washington, ‘sokongan Iran terhadap kegiatan pengganas antarabangsa’ termasuk pengeboman dan rampasan pesawat seharusnya membuatkan negara itu tidak layak didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
Iran sebelum ini mengheret Washington ke mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu pada tahun 2016 susulan tindakan Mahkamah Agung AS yang memutuskan bahawa dana berjumlah AS$2 bilion (RM8.32 bilion itu) perlu diserahkan kepada mangsa pengganas dari republik Islam terbabit.
Menurut Iran, kes berkenaan mencabuli Perjanjian Keamanan 1955 antara Washington dan Tehran yang ditandatangani sebelum revolusi Islam Iran.
Washington membatalkan perjanjian terbabit minggu lalu selepas ICJ dalam kes berasingan mengarahkan negara itu menarik sekatan dikenakan ke atas Tehran oleh Presiden Donald Trump, sejurus beliau menarik diri dari perjanjian nuklear 2015 bersama Iran.
“Iran datang ke mahkamah dengan tangan yang kotor. Ia membuktikan mereka tidak boleh dipercayai,” kata pegawai perundangan Jabatan Negara AS, Richard Visek kepada mahkamah.
“Kes ini berkisar kepada sokongan Iran terhadap pengganas antarabangsa…tindakan buruk Iran termasuk menyokong pengeboman oleh pengganas, pembunuhan, penculikan dan rampasan pesawat,” katanya.
Visek juga menuduk pemimpin kanan Iran menggalakkan dan mempromosikan keganasan serta mencabuli peraturan pemilikan senjata nuklear, peluru berpandu balistik dan penyeludupan senjata.
Tindakan Iran menggunakan perjanjian 1955 untuk memfailkan kes ke atas AS adalah satu penyalah gunaan proses, katanya. – AFP/BH ONLINE