SOCHI – Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam berkata, Amerika Syarikat (AS) turut menggalas ‘tanggungjawab tertentu’ terhadap nasib wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, menambah, tiada bukti mencukupi Riyadh menjadi dalang kehilangannya.
“Setakat yang saya tahu, wartawan yang hilang itu tinggal di AS. Dalam situasi ini, sudah pasti, AS menggalas tanggungjawab tertentu terhadap apa yang berlaku kepadanya,” kata Putin dalam satu forum di bandar selatan Rusia di sini.
Pemimpin Rusia itu berkata, Moscow ‘tidak dapat menjejaskan hubungannya’ dengan Riyadh kerana ‘ia tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.’
Pihak berkuasa Turki berkata minggu ini, Khashoggi dibunuh skuad pembunuh dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul 2 Oktober lalu, namun dinafikan Riyadh.
Ulasan pemimpin Rusia itu dibuat ketika menteri kanan Barat menarik diri daripada menghadiri persidangan pelaburan besar-besaran di Arab Saudi, melahirkan kebimbangan mendalam berhubung kehilangan Khashoggi.
Menteri berkenaan menyertai syarikat korporat besar yang kini boikot Inisiatif Pelaburan Akan Datang di Riyadh minggu depan, dianggap sebagai wadah pembaharuan ekonomi cetusan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin berkata, beliau akan membuat keputusan sama ada untuk menghadirinya atau tidak dengan Presiden Donald Trump tetap mempertahankan sekutunya itu.
Putin bertemu Mohammed sebelum pembukaan perlawanan Piala Dunia di Moscow musim panas lalu.
Khashoggi, seorang pengkritik pentadbiran diraja ultra konservertif itu kali terakhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul, 2 Oktober lalu. – AFP/BH ONLINE