BAITULMAQDIS – Seorang lelaki Palestin maut ditembak askar Israel dalam satu bantahan di utara Tebing Barat semalam, kata kementerian kesihatan di Ramallah.
Jurucakap tentera Israel mengesahkan satu operasi di kampung Taamun di timur laut Nablus mencetuskan bantahan oleh penduduk Palestin.
Kementerian kesihatan Palestin memberitahu, Mohammed Basharat, 21, maut selepas ditembak di dada.
Tiga lagi penduduk Palestin cedera ditembak dengan peluru hidup dan tiga lagi cedera ditembak dengan peluru getah.
Tentera Israel juga mengaku mereka melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup.
“Kira-kira 50 penduduk Palestin membaling batu dan bom petrol pada askar kami yang membalas dengan taktik antirusuhan serta tembakan peluru hidup,” kata tentera Zionis dalam satu kenyataan.
Tebing Barat ditakluk tentera Israel dalam Perang Enam Hari pada 1967 dan diluaskan menjadi penempatan haram Yahudi.
Sejak beberapa minggu lalu, wilayah itu tegang dengan penentangan penduduk Palestin.
Pada 7 Oktober lalu, seorang lelaki Palestin menembak mati dua pekerja Israel dan pada Isnin lalu seorang askar Israel cedera ditikam di Hebron, selatan Tebing Barat. – AFP/myMetro Online