KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mampu mengharungi ujian oleh Allah S.W.T yang sedang dihadapinya.
Presidennya, Ustaz Dr. Zamihan Mat Zin berkata, Ahmad Zahid seorang pemimpin yang konsisten dalam perjuangannya menegakkan syiar Islam di negara ini khususnya dalam memartabatkan ahli sunnah wal jamaah selama ini.
“Kami mendoakan agar beliau diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini dan semua pihak harus yakin bahawa kebenaran pasti akan muncul dan Allah bersama orang-orang yang benar.
“Aswaja akan terus berdiri teguh dan memberi sokongan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dalam usaha memartabatkan perjuangan Islam di negara ini. Ingatlah bahawa semua kita akan didakwa oleh Allah S.W.T atas setiap perkara yang kita lakukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, beliau dalam kenyataan sama menegaskan tuntutan Aswaja supaya Jabatan Peguam Negara memberi keadilan sebaik-baiknya dalam menjalankan dakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Kata beliau, Aswaja tidak berniat mencampuri urusan Jabatan Peguam Negara, namun pendakwaan keatas Ahmad Zahid perlu fokus kepada usaha mencari kebenaran dan keadilan, bukan kerana bermotifkan balas dendam atau kepentingan politik tertentu.
“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid selaku mantan Timbalan Perdana Menteri perlu diberi hak dan peluang untuk membela diri dan mendapatkan keadilan sepenuhnya berdasarkan kepada prinsip “rule of law” yang sebenar.
“Selagi tidak disabitkan kesalahan, beliau berhak untuk menerima layanan sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan integriti perundangan yang sedia ada,” katanya. – MYNEWSHUB.TV