KUANTAN – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berharap Belanjawan 2019 akan memberi berita gembira kepada 32,624 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.
Beliau berkata antara perkara yang dinantikannya ialah pengumuman berkaitan perjawatan guru tersebut bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan yang lebih baik.
“Masih tiada skim perjawatan untuk mereka walaupun ada yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun… ada antara mereka yang terpaksa melakukan kerja sambilan lain kerana elaun yang diterima tidak mencukupi.
Kita mahu mereka memperkasakan kedudukan mereka kerana apa yang diperoleh setakat ini dilihat tidak setimpal dengan jasa mereka mendidik anak-anak kita,” katanya.
Fuziah berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan elaun sara hidup kepada 699 nelayan di Kuantan melibatkan peruntukan sebanyak RM197,250.
Pada perkembangan lain, Fuziah memberitahu beliau akan membentangkan kertas kerja berkaitan pemuliharaan air pada ‘A Mediterranean Water and Journalism Forum’ 2018 di Barcelona, Sepanyol pada 30 Okt ini.
“Isu alam sekitar sememangnya amat dekat di hati saya dan sebelum ini pun saya diketahui sebagai individu yang banyak memperjuangkan isu alam sekitar seperti perlombongan bauksit dan isu kilang Lynas.
… dan sebagai orang yang diberi amanah dalam portfolio berkaitan agama, saya akan menyentuh isu pemuliharaan air dari sudut maqashid syariah,” katanya.
Pada majlis itu, Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan menasihatkan nelayan untuk tidak membuang minyak hitam terpakai ke dalam laut yang disifatkan umpama ‘mencurah pasir ke periuk nasi sendiri’ kerana boleh mengganggu alam sekitar dan boleh menjejaskan mata pencarian mereka. – BERNAMA