JELEBU – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengakui terdapat pemimpin dalam kalangan UMNO yang memohon untuk menyertai parti.
Rais yang enggan mengumumkan berapa ramai yang telah membuat permohonan itu berkata pihaknya tentu sekali akan membuat pertimbangan berhubung permohonan tersebut oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti.
Saya tidak dapat umum jumlahnya, tetapi minat menggalakkan, salah seorangnya, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Klawang Datuk Yunus Rahmat…yang lain-lain itu saya tidak mahu sebut siapa, ia tidak begitu selesa ketika ini.
“Permohonan menyertai PPBM itu secara amnya di negeri ini, kita menerima akhlak dan latar belakangnya yang tidak menentang kemasukan mereka dari segi syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PPBM bahagian Jelebu di sini, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Rais yang juga merupakan bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berkata pihaknya akan mengadakan program penerangan kepada ahlinya yang kini melebihi 3,000 dan akan diintensifkan susulan ada kalangan mereka yang menganggap PPBM dan UMNO itu adalah sama.
“Hal ini penting dihuraikan, begitu juga isu-isu manifesto, apa sebab setengah manifesto tidak dapat dilaksanakan ketika ini. Apa yang penting adalah meninggalkan di belakang amalan-amalan lama yang tidak memberi manfaat. Saya ingin mengelakkan percakaran, saya akan mengutamakan yang penting iaitu disiplin,” katanya.
Tambahnya, PPBM di semua bahagian di negeri ini akan diselesaikan pelancarannya menjelang 25 Oktober ini, ia termasuk penyelesaian dalam usaha memulihkan kembali parti tersebut.
Bulan lepas, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembubaran PPBM Negeri Sembilan kerana menimbulkan pelbagai masalah dan melanggar perlembagaan parti dan keputusan itu dibuat hasil mesyuarat pimpinan tertinggi parti berkenaan. – BERNAMA