KEKAL… Semua ahli UMNO di seluruh negara diminta agar bertenang dan terus istiqamah bersama parti dalam perjuangan memenangi semula keyakinan rakyat, kata Datuk Dr. Noraini Ahmad.
Pada masa yang sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia itu menyeru seluruh jutaan ahli parti berkenaan juga mesti berfikiran positif dan bersikap rasional dalam apa juga keadaan terutama ketika berdepan masalah.
“Ini termasuklah dalam isu beri layanan adil sejajar dengan prinsip innocent until proven guilty (seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebagai bersalah) kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Janganlah ahli-ahli UMNO bertindak mengikut emosi dan biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah,” kata Noraini menerusi satu kenyataan media di ibu negara semalam.
Ujar beliau yang dipetik oleh portal UMNO-Online, sayap Wanita UMNO berharap apa yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti itu ketika ini tidak mematahkan semangat perjuangan ahli-ahli parti berkenaan.
“Jangan sampai fokus dan tumpuan kita ke arah memulih dan memperkasakan semula parti keramat ini terjejas dan teralih susulan penangkapan dan pendakwaan ke atas Presiden parti.”
Sehubungan itu, tegas Noraini yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong, semua pihak dalam parti harus menunjukkan solidariti pada saat UMNO dan pemimpinnya sedang diuji. – Agensi/Mynewshub.TV