TANJUNG MALIM – Cacat penglihatan yang dialami sejak kecil bukan penghalang kepada Tan Jen Win, 25, untuk menjadi graduan cemerlang sehingga membolehkannya menerima ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Lebih membanggakan, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu yang mengalami masalah rabun dekat, jauh dan silau yang teruk membuktikan kekurangan diri bukan penghalang dalam pendidikan dengan meraih keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.60.
Ketika ditemui pemberita, Tan berkata berbekal semangat tidak berputus asa dan menganggap kehidupan sebagai satu perjuangan, beliau gembira dengan kejayaannya mengharungi tempoh tiga tahun pengajian TESL meskipun terpaksa berdepan pelbagai rintangan termasuk mengubah corak pembelajaran berbanding pelajar biasa.
“Jika pelajar lain memberi perhatian semasa pensyarah menulis sesuatu di atas papan putih semasa di kuliah, saya pula hanya boleh mendengar apa yang pensyarah sebutkan dan terpaksa menyalin nota rakan-rakan selepas itu.
“Jadi saya berasa amat gembira kerana hari ini merupakan suatu kemenangan yang amat berharga dalam diri saya. Segala usaha dan penat jerih saya akhirnya membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi pertama kali ke-20 di sini hari ini.
Tan merupakan seorang daripada 606 orang graduan yang dianugerahkan ijazah dan diploma pada sesi pertama istiadat tersebut yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim merangkap Canselor UPSI.
Menurut anak bongsu dari tiga beradik itu, ibu bapa serta dua kakaknya merupakan pendorong paling istimewa dalam apa yang dikecapinya hari ini kerana mereka memberi semangat dan sokongan kepadanya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut meminta golongan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya supaya berdikari dan usah segan dalam mencari pengalaman kerana kejayaan tidak datang sendiri.
“Jika diberi peluang, saya berharap selepas ini saya mahu menjadi pendidik dan mengajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (cacat penglihatan) di Setapak kerana di situlah saya pernah praktikal dan mahu menyumbang bakti kepada golongan sasar itu,” katanya.
Sementara itu, bagi sepasang suami isteri, meskipun mereka duduk berjauhan kerana mengajar di kawasan pedalaman di Sarawak, keadaan itu sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk melanjutkan pengajian sehingga berjaya bergelar graduan sarjana bersama-sama hari ini.
Berasal dari Temerloh, Pahang, Haziq Kamil Zakria, 28, dan isterinya, Basyira Rahman, 29, dari Besut Terengganu, mereka berdua berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pendidikan (Pendidikan Sekolah Rendah) dengan masing-masing mencapai CGPA 3.98.
Haziq yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anak iaitu sebuah sekolah pedalaman di Selangau, Sarawak berkata pelbagai cabaran perlu dihadapi mereka berdua demi meneruskan pengajian yang bermula sejak Disember 2016 lalu.
Katanya, di Sarawak beliau dan isteri tinggal berjauhan dan bertemu hujung minggu kerana Basyira berkhidmat di SK Bintulu yang memakan masa 4 jam atau kira-kira 200 kilometer termasuk perlu melalui jalan lori balak.
“Memang ada rasa tertekan untuk menyiapkan tugasan akademik, saya lebih kesiankan isteri saya kerana pada masa yang sama menguruskan kedua-dua anak.
“Kami mengikuti kuliah hanya ketika cuti sekolah di UPSI dengan menyewa sebuah rumah inap desa selama sebulan dan menghantar dua anak berusia satu dan tiga tahun ke taska berhampiran,” katanya yang menganggap kos perbelanjaan bukanlah satu isu besar. – BERNAMA