KERAJAAN Pakatan Harapan semakin terdesak apabila hasil pendapatan negara semakin jelas didapati tidak mampu menampung perbelanjaan negara.
Ini belum lagi dikira janji-janji PH yang ditawarkan dengan penuh yakin sebelum pilihan raya lalu, yang sememangnya memerlukan belanja yang besar.
Kalau semua janji PH hendak dilaksanakan, maka amat besar lagi jumlah yang diperlukan oleh negara.
Semakin dekat dengan hari pembentangan bajet, semakin terdesak dan panik kerajaan PH melihat hasil negara yang kurang akibat tindakan populis mereka menghapus GST.
Mereka tidak mengakuinya, tetapi penghapusan GST dengan segera beberapa bulan lalu telah menyebabkan hasil beberapa bilion yang sepatutnya dapat masuk ke kantung negara pun terlepas.
Tetapi apa lagi yang boleh dilakukan, kerana inilah janji utama mereka. Mereka malah menuduh kerajaan Barisan Nasional dulu mengambil duit rakyat melalui GST ini, seolah-olah hasil ini untuk kegunaan peribadi.
Selepas terkejut dengan kekurangan hasil akibat pemansuhan GST, mereka tanpa henti dan tanpa malu berkempen memanipulasi jumlah hutang negara untuk menutup kesilapan sendiri.
Hutang negara inilah yang akan terus menjadi modal PH untuk menjawab segala kepincangan, dan sebagai alasan pemotongan dan pengorbanan dalam bajet nanti.
Terbaru, Tony Pua, pegawai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan kerajaan akan menjual aset, alasannya untuk mengurangkan kos.
Dilaporkan media, Khazanah Nasional Bhd. dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan menyemak semula dan melepaskan aset bukan-strategik sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan mengurangkan kos.
Ini menurut kata Pua semalam, yang sebenarnya bermakna kerajaan PH akan menjual negara, untuk menunjukkan kerajaan masih ada banyak wang.
Wajar pihak Kementerian Kewangan menjawab soalan yang dilontarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tulisannya hari ini.
Soal Najib, “Adakah langkah untuk menjual aset negara hari ini seumpama menggadai masa depan negara bagi menampung langkah populis kerajaan hari ini?”
Jawabnya, ya. Kerana ini ialah antara langkah-langkah terdesak yang terpaksa diambil untuk menutup kesalahan bersikap populis hingga merugikan negara.
Najib menjelaskan lagi tentang apa yang pernah dilakukan oleh Menteri Kewangan semasa menjadi ketua menteri Pulau Pinang, yakni menjual aset kerajaan.
“Menteri Kewangan kita sebenarnya pakar jual aset. Semasa dia ketua menteri Pulau Pinang, dia banyak jual tanah, hak tanah dan saham milik kerajaan negeri untuk menunjukkan lebihan bajet (budget surplus) setiap tahun walaupun perbelanjaan tahunan kerajaan negeri naik sebanyak 3 hingga 4 kali ganda lebih banyak selama 10 tahun itu,” jelas Najib.
Dulu hal ini pernah didedahkan oleh BN, tetapi dinafikan atau diabaikan oleh banyak pihak, lebih-lebih lagi selepas ketua menteri yang “berperwatakan khalifah Umar Abdul Aziz” memberi peruntukan kepada sekolah tahriz dan menunjukkan kononnya kerajaan negeri bersih dan cekap.
Hari ini sebagai menteri kewangan, beliau mahu melakukan perkara yang sama, kali ini melibatkan aset yang lebih besar jumlahnya.
Ini ialah tanda-tanda kegagalan kerajaan PH yang bertindak menghapuskan GST hingga negara kehilangan hasil dan warga memerlukan akan kehilangan satu sumber bantuan yang kritikal.
Sekarang rakyat menunggu untuk melihat bajet pertama kerajaan PH, untuk bersedia berkorban.
Bekas PM Najib, memberikan satu pandangan yang wajar diperhatikan semua rakyat Malaysia: “Kita sama-sama tengok bajet yang akan datang ialah bajet lebihan ataupun bajet defisit. Jika defisit maksudnya, penjualan aset dan tanah ialah untuk menampung kehilangan hasil dan bukan untuk mengurangkan hutang.” – Mynewshub.tv